Thursday, January 20, 2011

Mus’ab bin Umair RA....

Kisah Mus’ab bin Umair amat unik. Dia digelar ‘putera Makkah’ kerana semua orang mengidamkannya, kerana kehensemannya. Tetapi apabila hatinya disentuh cahaya Islam, dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan semua kesenangan yang ada pada dirinya.

Dia adalah anak yang paling dicintai ibunya. Segala kehendaknya ditunaikan. Tetapi apabila dia menganut Islam dan ibunya mengetahui, ibunya telah menarik semua kesenangan Mus’ab. Segala pakaiannya yang cantik-cantik, wang saku, semuanya ditarik. Malah Mus’ab dipulau.

Namun Mus’ab tidak melatah. Tidak pula dia rasa susah. Bayangkan, anda biasa hidup dengan RM10,000 sebulan. Tiba-tiba anda perlu hidup dengan RM10 sebulan. Apa perasaan anda? Tetapi Mus’ab bin Umair tidak berpaling daripada Islam yang mungkin orang memandang sebagai penarik kekayaan dan kesenangannya.

Kenapa? Kerna dia yakin ini adalah jalan yang sebenar. Jalan yang membawanya kepada Allah.

Bila ibunya tidak berjaya menarik Mus’ab kembali kafir, Ibunya mogok tidak mahu makan sehingga Mus’ab kembali. Ibunya bertahan sehingga nyawa-nyawa ikan. Melihat keadaan ibunya, Mus’ab berkata:

“Wahai ibuku, andai Allah memberikan kamu 100 nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu persatu, saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”

Ya. Itulah keteguhan.

Kita? Kadang-kadang ibu bapa sendiri suruh kita untuk taat kepada Allah. Tapi kita ingkar. Mus’ab bin Umair, ugutan ibunya tidak dijadikan alasan untuk meringankan tuntutan Islam.

Ibu, walaupun kafir, kita perlu taat kepadanya selagi mana dia tidak mengajak kita syirik kepada Allah atau melakukan perkara yang Allah larang. Tapi sekiranya mereka mengajak kepada keingkaran terhadap Allah, maka kita perlu membantah.

Mus’ab terus bertukar gaya hidupnya. Dari baju sutera termahal dan terbaik di Makkah, dari minyak wangi yang mampu dihidu dari jarak yang jauh, dari kulit licin cerah putih yang menawan, dia berubah menjadi seorang yang memakai baju lusuh bertampal-tampal, bau tubuh badan biasa, dengan kulitnya menjadi sedikit kasar kerana hidup dalam payah.

Rasulullah SAW apabila melihat Mus’ab bin Umair, baginda akan menangis. Sahabat-sahabat juga begitu. Hal ini kerana, mereka segan dengan besarnya pengorbanan Mus’ab bin Umair. Ya lah, dari putera Makkah, kepada manusia yang akhirnya diboikot tiga tahun tiga bulan bersama Rasulullah SAW, makan kayu daun kering. Siapa yang tidak akan rasa terharu?

Namun Mus’ab bin Umair tidak pernah menyalahkan Islam. Sedikit pun dia tidak pernah berkata Allah itu kejam kerana mneyusun hidupnya menjadi susah sebegitu walaupun dia telah memilih kebenaran. Tidak pernah keluar dari mulutnya rungutan dan keluhan atau rasa menyesal menagmbil Islam.

Tidak pernah.

Kemudian Allah memuliakan Mus’ab bin Umair. Rasulullah SAW memilih Mus’ab sebagai pendakwah ke Madinah. Kesungguhan Mus’ab bin Umair membuatkan tidak ada satu pun pintu yang tidak diketuk oleh sinar Islam.

Akhirnya, majoriti penduduk Madinah Islam di tangan Mus’ab bin Umair.

Sa’ad bin Muaz, pada zaman jahiliyyahnya di Madinah sebagai ketua kaum Aws. Dia datang dengan marah ketika Mus’ab bin Umair sedang menyampaikan Islam kepada penduduk Madinah. Bersamanya panah. Sampai sahaja, dia terus menarik baju Mus’ab dan mendekatkan panah itu pada leher Mus’ab. Dia menyuruh Mus’ab menghentikan usaha dakwah.

Mus’ab tidak melenting atau menentang. Kata Mus’ab:

“Apa kata kau duduk dahulu dan mendengar apa yang aku hendak katakan? Kemudian jika kau suka, kau boleh ikuti. Jika kau tidak suka, maka aku boleh pergi”

Kelembutan Mus’ab dan ketenangannya, membuatkan hati Sa’ad bin Muaz lembut. Apabila dia mendengar kata-kata Mus’ab, ceramah Mus’ab dan Islam yang Mus’ab sampaikan, Sa’ad bangun. Dia berkata kepada Mus’ab:

“Islam ini, bagaimana aku boleh menganutnya?”

MasyaAllah. Begitulah dia Mus’ab bin Umair.

Rasulullah SAW pun memuliakannya.

Ketika Peperangan Uhud, Mus’ab bin Umair adalah salah seorang jeneral. Dia pembawa panji.

Peperangan itu, menyaksikan Mus’ab bin Umair bertempur ibarat singa. Namun, kerana dia memegang panji, tentera musyrikin berusaha untuk menjatuhkannya. Tangan kirinya yang memegang panji diserang hingga terpotong. Pantas dia memegang panji dengan tangan kanan. Dia terus bertempur. Akhirnya tangan kanan turut terpotong.

Mus’ab bin Umair, untuk mempertahankan panji yang mewakili maruah Islam, terus memegang panji dengan kedua pangkal lengannya. Akhirnya tubuhnya itu dihujani anak panah, menyebabkan dia tumbang syahid.

Saat syuhada’ Uhud hendak dikebumikan, mayat-mayat syuhada’ Uhud ditutup dengan kain. Kain yang menutup Mus’ab bin Umair tidak cukup untuk menutup seluruh tubuhnya. Jika kepalanya ditutup, maka kakinya terbuka dan begitulah sebaliknya.

Melihat keadaan ini, Rasulullah SAW menangis.

Akhirnya diarahkan untuk menutup kepala Mus’ab bin Umair dengan kain, manakala kakinya ditutup dengan daun kering.

Begitulah dia kisah seorang syuhada’, ‘putera Makkah’ yang telah berkorban.

Pembaca-pembaca, ketahuilah bahawa, itulah namanya pengorbanan. Kadangkala, kita menyedekahkan seratus dua ringgit, kita rasa itu satu pengorbanan. Sedangkan gaji kita RM10,000 sebulan.

Kadangkala, kita dapat bangkit qiamullail dua rakaat, kita sudah rasa itu satu pengorbanan. Sedangkan kita bangkit itu sekali sahaja dalam setahun. Malah banyak hari kita terlajak subuh.

Kadangkala, kita dapat berpuasa sunat sehari. Kita berlapar. Kita rasa itu pengorbanan. Sedangkan kita berpuasa sunat itu sekali sahaja dalam beberapa bulan.

Kita baru studi sejam dua, kita rasa itu pengorbanan. Sedangkan kita leka dan lalai berpuluh-puluh jam lamanya.

Amal kita sedikit, kita rasa itu pengorbanan. Sumbangan kita sedikit, kita rasa itu pengorbanan. Hakikatnya, kita tidak faham apa itu ‘korban’. Pengorbanan yang sebenar adalah seperti apa yang ditunjukkan Mus’ab bin Umair kepada kita.

Sedangkan Islam, untuk bangkit seperti zaman kegemilangannya, memerlukan manusia-manusia yang sedia berkorban seperti Mus’ab Bin Umair. Pengorbanannya menonjolkan keimanannya. Kerna, manusia yang benar-benar beriman kepada Allah, dia akan faham dengan sebenarnya akan kata-kata:

“Cukuplah Allah sebagai wakil”

MasyaAllah…

Sama-sama lah kita, muhasabah diri kita, dengan sirah Mus’ab bin Umair ini.

Semoga kita berjaya menjadi hamba sepertinya.

Dia adalah antara anak-anak di madrasah Rasulullah SAW, yang melihat dunia dari jendela akhirat.

Semoga Allah bantu kita untuk menjadi seperti dia.

DIA CONTOH TERBAIK...

Awalnya, dia adalah seorang yang amat memusuhi Rasulullah SAW. Tiadalah manusia yang lebih dia benci, melainkan seorang manusia yang bernama Muhammad bin Abdullah, yang mengakui membawa risalah dari langit.

Dia tidak teragak-agak untuk menyeksa sesiapa sahaja yang dia ketahui menganut agama suci itu. Padanya, tiada yang benar melainkan latta, uzza dan 360 berhala yang terdapat di Kaabah.

Satu hari, kerana tidak tertahan dengan perkembangan Islam, dan kerana keberaniaannya amat tinggi, dia bergerak untuk memenggal sendiri kepala Rasulullah SAW. Di tengah perjalanan, dia ditahan, dan diberitahu bahawa adiknya dan iparnya sendiri telah beriman.

Bergerak dia menyergah. Adik perempuan lemah ditampar. Ketika melihat darah tersembur dari mulut adik perempuannya, Allah melembutkan hatinya. Segera dia merasionalkan diri, lantas hendak memeriksa terlebih dahulu lembaran-lembaran yang adiknya bacakan sebelum kedatangannya tadi.

“Toha, Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepada kau untuk menanggung kesusahan. Tetapi untuk mereka yang takut melanggar perintah Allah…” Surah Toha, ayat 1-3.

Dan hatinya terbuka, disentuh cahaya.

Dari segelap jahiliyyah kepada seterangan cahaya hidayah, Umar Al-Khattab, berubah setiap darjah dalam 360 darjah.

Ya. Siapa yang tidak kenal dengan Umar Al-Khattab RA. Khalifah Ar-Rasyidin yang ke-2 dalam sejarah Islam. Terkenal sebagai antara yang terapat dengan Rasulullah SAW, bersama Abu Bakr RA. Dia amat popular dengan ketegasan dan keadilannya. Dia juga adalah yang berjaya menyebarkan Islam paling luas, dan rakyat di zamannya adalah paling soleh dalam sejarah.

Berbeza dengan Abu Bakr RA yang memang sedari zaman jahiliyyah tidak menyembah berhala dan meminum arak, Umar Al-Khattab RA adalah penyembah berhala tegar, peminum arak kuat, dan sering sahaja mengikuti pesta-pesta di pasar Ukkaz(tempat pesta orang quraisy).

Dia adalah seorang yang amat bijak, cerdik dan bijaksana. Namun kita dapat melihat betapa kebijaksanaannya terutup dengan jahiliyyah yang merantai jiwa.

Pernah satu ketika, selepas keislamannya, dia sekali menangis keseorangan, kemudian dia ketawa.

Orang bertanya: “Kenapa kau begitu wahai amirul mu’minin?”

Umar Al-Khattab menjawab: “Aku menangis, kerana aku teringat bahawa, ketika zaman jahiliyyah, aku menanam anak perempuanku hidup-hidup. Yang membuatkan aku hiba, adalah ketika kuletakkan anak perempuanku ke dalam lubang untuk ditanam, dia menyapu janggutku yang terkena debu pasir. Tetapi aku sedikit pun tidak terasa ketika itu, lantas terus menerus menanamnya hingga habis”

Begitu sekali kekerasan hatinya. Sehingga menutup akalnya yang bijaksana, bahawa anak itu satu nikmat yang berharga. Maka apakah yang membuatkan kau ketawa wahai Umar?

“Aku teringat dahulu, ketika hendak berniaga ke syam, aku akan membawa berhala yang dibuat dari tamar, agar mudah disembah di tengah perjalanan. Tetapi, apabila lapar, aku akan mengopek berhala itu, dan memakannya. Itu membuatkan aku ketawa”

Ketawa kerana dia melihat, betapa bodohnya dia ketika itu. Taksubnya kepada berhala, sehingga dia tidak perasan bahawa berhala itu tidak mampu melakukan kepadanya apa-apa, malah dia boleh memakan ‘tuhannya’ itu. Namun kerna kejahilannya, dia tidak nampak hal itu di zaman jahiliyyahnya.

Begitulah pekatnya jahiliyyah Umar RA.

Tetapi sepekat dan segelap mana pun Umar Al-Khattab, dengan beberapa ayat Al-Quran, hatinya tersentuh dan terbuka. Kenapa?

Kerana dia berjaya mengajak dirinya, duduk dan bermuhasabah. Ketika dia menampar adik perempuannya, melihat adik perempuannya tersungkur bersama darah tersembur, dia telah berjaya menjemput rasional dalam dirinya, membuka sedikit pintu hatinya, dengan berkata secara tidak langsung kepada jiwanya: “Apa salahnya aku tengok dahulu apa yang Muhammad bawa ini?”

Dan dengan sedikit yang terbuka tadi, sinar hidayah Allah menerobos masuk, membuka hati Umar RA seluas-luasnya.

Siapakah antara kita yang membuka hati kita kepada Islam?

Rata-rata kita bila diajak melakukan kebaikan, kita akan berkata awal-awal: “Susah lah, payah la, ish, tak terkongkong ke? Pakai tudung tu panas la, solat lima hari sekali tu leceh la” Dan pelagai alasan lagi, menutup serapat-rapatnya jiwa kita dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Sebab itu, walaupun kita tidak seteruk Umar di zaman jahiliyyah, kita tetap tidak berjaya mendakap kebaikan Islam.

Islamnya Umar, dia berubah 360 darjah. Setiap juzu’ hidupnya berubah. Jika jahiliyyahnya dia merupakan seorang yang amat berani dalam menentang Islam, maka ketika Islamnya, dia adalah yang paling berani menyebarkan agama Allah itu.

Dialah yang berkata kepada Rasulullah SAW:

“Ya Rasulullah, bukankah kita ini adalah yang benar?”

Rasulullah SAW menjawab: “Ya”

“Maka marilah kita keluar, beribadah secara terang-terangan”

Semenjak hari itulah ummat Islam berani melakukan solat secara terang-terangan di Masjidil Haram. Umar memimpin satu bari, manakala Hamzah memimpin satu baris. Membuatkan semua orang quraisy ketika itu amat menggeruni orang Islam dan tidak berani memperapa-apakan mereka secara berlebihan seperti sebelumnya.

Umarlah yang paling yakin dengan Allah SWT, ketika berhijrah, dia tidak bersembunyian. Dia mengumumkan penghijrahannya dan berkata:

“Kepada sesiapa yang ingin isterinya menjadi janda, anaknya menjadi yatim, ibunya kehilangan anak, maka berjumpalah aku di lembah berdekatan ini, sesungguhnya aku hendak berhijrah”

Dan tiada sesiapa yang berani menghalang Umar.

Umar RA bersungguh-sungguh dalam mempertingkatkan dirinya. Dia sentiasa berusaha membersihkan jiwanya. Satu hari dia pernah berkata kepada Rasulullah SAW:

“Ya Rasulullah, kau adalah manusia yang paling aku cinta, selepas diri aku”

Memang, logiknya, kita akan mengasihi diri kita, lebih sikit dari manusia yang paling kita cinta bukan? Umar juga manusia biasa ketika itu.

Tetapi Rasulullah SAW menjawab: “Tidak sempurna iman seseorang itu, melainkan diriku, lebih dicintainya, dari anak-anak dan dirinya”

Maka kita dapat melihat kecintaan Umar RA kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaannya pada dirinya, dalam beberapa peristiwa:

Pertama: Ketika beliau berziarah ke rumah Rasulullah SAW, dan melihat rumah baginda tiada apa-apa, melainkan satu alas tidur dibuat dari pelepah tamar, yang ketika Umar datang, Rasulullah baru bangkit darinya lalu kelihatan birat-birat alas itu di belakang tubuh baginda. Dan selain alas itu, hanya ada satu pengisar gandum.

Umar menangis. Lantas berkata: “Ya Rasulullah, raja-raja rom dan parsi, mempunyai katil dan istana yang luas. Engkau ya Rasulullah, lebih berhak ke atas semua itu”

Kita? Terasa kah kita dengan perjuangan Rasulullah SAW menyampaikan keimanan kepada kita?

Kedua: Ketika Rasulullah SAW wafat, Umar tidak mampu menerimanya kerna kecintaan yang sangat mendalam dalam jiwanya. Terasa, seakan-akan dirinya yang ditarik pergi. Menyebabkan dia akhirnya ‘terjatuh’ sedikit dari kewarasannya, kerna cintanya yang amat mendalam, lantas mengembarkan pedang sepanjang jalan dan menerit:

“Sesiapa yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah wafat, maka pedang ini akan menjadi habuan lehernya!”

Begitu juga sebelumnya, Umar lah yang mempertahankan Rasulullah apabila ada seorang badwi menyentap rida’ Rasulullah, hingga leher baginda menjadi merah. Umar hendak memenggal kepala arab badwi itu, dan Rasulullah SAW menghalang.

Begitulah juga ketika Abdullah ibn Ubay ibn Salul menjadi amat melampau dalam kemunafikannya, Umar menawarkan diri untuk menebas kepala Ketua Munafik itu, namun Rasulullah juga menghalangnya. Umar, adalah manusia terpantas dalam mempertahankan Rasulullah SAW.

Ketiga: Semasa Umar RA menjadi khalifah, dia pernah bertanya kepada anaknya Hafsah, yang menjadi isteri Rasulullah SAW.

“Wahai Hafsah, apakah makanan paling sedap yang Rasulullah SAW pernah makan di rumah? Maka makananku yang paling sedap di rumahku, adalah itu”

Rasulullah SAW, dengan rumah yang ada satu pengisar gandum sahaja, yang rumah baginda kadangkala berhari-hari dapurnya tidak mengeluarkan asap, agaknya apakah yang makanan tersedap yang baginda makan?

Umar, dia menetapkan dirinya sedemikian, kerna cintanya yang mendalam.

Pernah sekali, ketika dia menjadi amirul mu’minin, tubuhnya kurus kering. Hingga orang di sekelilingnya menyatakan kepadanya agar dia tidak memaksa diri. Dia berkata:

“Dua sahabatku telah pergi, dan aku sedang berada di atas jalan yang pernah mereka lalui”

Dua sahabat itu adalah Rasulullah SAW dan Abu Bakr RA.

Umar RA benar-benar bersungguh dalam mengikuti jejak Rasulullah SAW, mencontohi baginda dalam segenap kehidupan.

Itulah dia Umar Al-Khattab. Yang saya tulis ini, secebis sahaja. Bukan hendak menceritakan kisahnya seluruhnya. Tetapi sekadar hendak menarik perhatian pembaca, bahawa Umar Al-Khattab ini asalnya seorang pendosa, penyembah berhala, peminum arak.

Tetapi dia berjaya menjadi yang terbaik di dalam Islam. Antara 10 yang diberitakan syurga semasa masih hidup. Menjadi Khalifah kepada seluruh ummat Islam. Hebatnya dia, hingga Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sekiranya Umar melalui satu lorong, maka syaitan akan memilih lorong lain dari bertembung dengannya”

“Sekiranya ada lagi nabi selepas aku, maka dialah Umar”

Asalnya, dia adalah orang yang hendak membunuh Rasulullah SAW dengan tangannya sendiri!

Macam mana kita?

Sekeras dan segelap Umar, dia memberikan sedikit ruang untuk melihat apa yang Rasulullah SAW bawa, dan dari sedikit ruang itu, Allah membukakan kepadanya hidayah-Nya.

Bagaimana kita? Pernahkah kita membuka ruang pada diri kita, untuk mendalami Islam?

Umar Al-Khattab, ternyata contoh untuk para pendosa, agar kembali kepada-Nya.

Dia berjaya membuktikan bahawa, tiada yang rugi apabila manusia kembali kepada-Nya.

UMUR KITA..?

Berbicara mengenai umur. Umur kita.

Bagaimanakah kita memandang umur kita?

Rata-rata remaja, terutama belasan tahun, dan awal 20-an(pemuda) memandang usia mereka ‘muda’. Apabila dibicarakan akan tanggungjawab, kematangan, keseriusan dalam hidup, melakukan sesuatu yang besar, maka jawapan-jawapan seperti berikut akan melintas:

“Aku baru 18 tahun,”

“La, aku ni baru 20 tahun,”

Terasa muda kan? Baru. Seakan ada banyak masa lagi untuk dilengahkan, ada banyak waktu lagi untuk dibazirkan. Tetapi siapakah remaja yang apabila umurnya mencapai 18 tahun, berkata:

“Aku sudah 18 tahun, Usamah bin Zaid RA sudah mampu menjadi Jeneral Perang ketika ini. Aku?”

Apabila umurnya sampai kepada 21 tahun:

“Aku sudah 20 tahun, Muhammad Al-Fateh tawan Konstantinopel pada umur 22/23, aku ada setahun sahaja lagi untuk menyaingi dia.”

Terasa tua. Terasa sedikitnya masa. Terasa kematangan itu sepatutnya lebih dari apa yang telah diusahakan. Terasa sepatutnya dirinya lebih serius menggunakan umur yang ada. Terasa sepatutnya dia berusaha lebih keras dan tegas bukan bermain-main dengan dirinya.

Di manakah kita? Baru atau sudah?

Sama-sama muhasabah.

Virus yang melekat pada remaja&pemuda

Virus kefahaman, yang menyatakan bahawa masa muda adalah waktu libur bagi insan, memang telah menyerap masuk ke dalam jiwa manusia hari ini.

Maka dilihat bahawa umur mudanya, yang saya pun tak pasti setakat mana muda itu hendak dihitung, adalah untuk dihabiskan dalam keseronokan.

Akhirnya terhasillah pemberontakan apabila diajak serius untuk menghadapi kehidupan, muncullah rasa benci apabila diajak untuk matang dalam memikirkan permasalahan ummat, dan melarikan diri apabila diajak untuk mengikuti proses mengislah diri dan masyarakat.

“Aku baru 17 tahun lah.”

“Aku baru 21 tahun.”

Kita rasa muda. Masih banyak masa. Bukan waktunya bersusah payah. Bukan masanya berpenat lelah. Bukan tikanya membanting tulang. Bukan saatnya memerah otak berfikir untuk ummat. Belum sampai waktu untuk serius. Belum tiba waktu untuk matang.

Kita masih ingin bermain-main. Melalui hidup sebagai ‘remaja’.

Sedangkan, yang ditunjukkan kepada kita adalah sebaliknya

Sedangkan, kefahaman bahawa waktu muda adalah waktu libur dan sambil lewa tidak pula ditunjukkan oleh Abdullah ibn Umar RA.

Beliau telah duduk di tengah-tengah majlis Rasulullah SAW bersama-sama orang tua yang lain, saat usianya masih teramat muda. Dilihat selepas itu beliau adalah yang paling bersungguh-sungguh dalam mengikuti sunnah Rasulullah SAW hingga diriwayatkan, beliau berusaha untuk memijak di mana tapak-tapak kaki Rasulullah SAW berpijak ketika berjalan. Beliau pernah pergi ke pasar, semata-mata untuk menyebarkan salam, salah satu sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Akhirnya apakah yang berlaku kepada Abdullah ibn Umar RA ini? Beliau menjadi rujukan ummat. Bahkan para sahabat pernah mencalonkan beliau sebagai calon terbaik untuk menggantikan ayahandanya, Umar Al-Khattab RA. Sedang usianya adalah usia pemuda ketika itu.

Adakah agaknya, pernah wujud di dalam dirinya perasaan: “Aku baru berumur sekian, aku tidak sepatutnya bersusah payah untuk melakukan itu dan ini.”?

Kefahaman bahawa waktu muda adalah waktu untuk leka-leka dan tidak mengambil berat akan kehidupan, tidak pula ditunjukkan oleh Usamah bin Zaid RA.

Sedangkan, beliau baru sahaja berusia 18 tahun ketika diangkat oleh Rasulullah SAW sebagai jeneral perang menentang Rom ketika itu. Tidak pula dia menyatakan: “Aku baru 18 tahun ya Rasulullah.”

Bahkan, mengikut sejarah, beliau telah hendak menerjunkan dirinya ke medan Uhud, tetapi Rasulullah SAW melarang kerana usianya masih terlalu kecil ketika itu. Dan akhirnya pada usianya 15 tahun, dia mula berperang di sisi Rasulullah SAW, dan Usamah bin Zaid RA adalah antara yang tidak terganggu dengan serang hendap pada Perang Hunain, menjadikan dia dalam golongan yang sedikit dalam mempertahankan Rasulullah sebelum tentera muslimin bersatu semula ketika itu. Pastinya, ketika itu usianya lebih muda daripada 18 tahun.

Bagaimana?

Dan kita jenguk sebentar Sultan Muhammad Al-Fateh yang baru berusia 22 atau 23 tahun ketika menawan Konstantinopel. Sedangkan dia masih muda, dan dia juga mengetahui bahawa Konstantinopel tidak pernah ditembusi oleh sesiapa semenjak 800 tahun sebelumnya. Mengapa dia, seorang sultan, masih muda, tidak berlibur dan bersenang lenang sahaja di dalam istana?

Sebab Sultan Muhammad Al-Fateh tidak menganggap dia ‘baru 22 atau 23 tahun’. Tetapi dia merasakan, dia ’sudah 22 atau 23 tahun’. Masa untuknya semakin sedikit. Sedang dia tidak tahu bilakah Konstantinopel baru boleh dijatuhkan. Maka dia perlu berusaha keras, bersegera mendapatkan kemenangan.

Tidakkah kita memerhatikan?

“Mereka itu tidak boleh kami ikuti!”

Beberapa remaja menempelak sedemikian.

Tidak, saya pun bukannya nak suruh kamu turun berperang mengangkat senjata. Atau duduk di dalam majlis ilmu para ulama’. Tetapi saya ini, ingin mengajak diri saya dan diri kita semua, untuk melihat kita di atas medan kita. Kita dan tanggungjawab kita.

Kita adalah siapa? Remaja. Pemuda. Tetapi bukan remaja dan pemuda biasa. Remaja dan Pemuda Islam. Maka apakah sepatutnya kita lakukan di dalam hidup? Walaupun kita mungkin tidak boleh mengangkat senjata seperti mereka, turun di medan perang seperti mereka, duduk di dalam majlis ilmu para ulama’ seperti mereka, bukankah kematangan, keseriusan, itu mampu kita bina? Disiplin dalam menjalani hidup dan tidak mengisinya dengan perkara-perkara yang lagha(melalaikan) lagi merosakkan, bukankah itu mampu kita lakukan?

Bersungguh-sungguh dalam meningkatkan kualiti diri, menjadi hamba Ilahi yang terbaik, memenuhi sifat-sifat mukmin, cuba menjadi mukmin yang proaktif, yang mampu memberikan sumbangan kepada Islam dan sebagainya.

Itu mampu kita lakukan.

Bagaimana?

Atau kita sekadar tetap merasakan bahawa usia muda untuk liburan semata?

Penutup: Hari tua itu, mungkin tidak menjengah. Kalau menjengah pun, apakah kita berkualiti?

“Nanti tua la baru fikir semua benda ni.”

“Nanti bila dah besar sikit lagi, baru la serius.”

Hem. Yakah?

Bagaimana kalau hari tua itu tidak datang? Maksud saya, kita mati sebelum sempat merasa ‘tua’?

Dan bagaimana ya, kalau masa muda kita bermain-main, adakah masa tua nanti kita mampu menjadi satu peribadi yang berkualiti? Sekiranya masa muda kita habiskan dengan liburan, apakah benar masa tua nanti kita akan menjadi seorang yang mempunyai kekuatan? Saya bukan kata mustahil. Tetapi saya tidak lihat ramai yang mampu menjadi demikian. Sebab? Sebab masa mudanya, dihabiskan dengan membina ‘dasar kelemahan’ yang mana dasar ini tidak mampu dijadikan tapak pembinaan peribadi yang berkualiti.

Kamu umur berapa sekarang?

Apa yang telah kamu sumbangkan kepada Islam?

Satu soalan.

Tahukah kamu, apakah umur kita yang Allah kira?

Umur yang telah kita habiskan di atas jalanNya. Selain itu, tidak ada maknanya.

Agak-agak, berapa tahun umur kita di sisi Allah SWT?